Keceluparan kerap kali
mengundang bencana. Kata pepatah, cakap siang pandang-pandang, cakap malam
dengar-dengar. Terlajak perahu boleh dibelok, terlajak kata buruk padahnya.
Begitulah yang terjadi kepada Si Luncai. Akibat kata-katanya, dia dimurkai oleh
raja.
Apa
tidaknya, ketika menghadap raja, terluncur kata dari mulutnya bahawa muka raja
mirip wajah arwah bapanya. Raja yang zalim itu terasa dipersendakan. Baginya,
mukanya tidak sekali-kali boleh disamakan dengan rakyat biasa. Apatah lagi
dengan muka arwah bapa Si Luncai yang miskin dan dipandang hina itu. Tanpa
mempertimbangkan perkara ini dengan adil dan teliti, raja pun menjatuhkan
hukuman. Penghinaan Si Luncai mesti dibayar dengan nyawa.Oleh itu, Si Luncai
dihukum bunuh secara dicampakkan ke tengah laut.
Namun
Si Luncai bukan anak sembarangan. Yang miskin cuma hartanya, bukan minda dan
ketangkasan fikirannya. Otaknya bergeliga dengan pelbagai taktik licik untuk
menyelesaikan masalah. Walaupun telah dihukum mati, Si Luncai tidak panik.
Sebelum dia dibawa dengan sampan untuk dicampakkan ke tengah laut, dia sempat
membeli sebiji labu besar. Sejak itu dia menangis berhiba-hiba sambil
mengusap-usap labu itu.
Selang
beberapa ketika, dua orang pengawal istana pun tiba untuk melaksanakan hukuman.
Dengan senjata yang lengkap, mereka berdua bersedia untuk membawa Si Luncai
dengan sampan untuk dihumban ke tengah laut. Menyedari kedatangan pengawal itu,
Si Luncai pun tambah beria-ia menangis sambil membelai-belai labu airnya.
Melihat telatah Si Luncai, dua pengawal kehairanan lalu bertanya, “Kenapa kamu
menangis dan memeluk labu ini?” Si Luncai pun menjawab, “Hamba terkenangkan
arwah bapa hamba, bukankah hamba akan berjumpanya sebentar lagi.”
Melihat
perilaku Si Luncai itu, kedua-dua pengawal berasa kasihan. Mereka pun
membenarkan Si Luncai membawa labu itu bersama dalam sampan untuk menuju ke
tengah laut. Sewaktu mereka sedang mengayuh, Si Luncai pun memulakan strategi
untuk menyelamatkan diri. Dia berkata, “Sebelum hamba mati, bolehkah tuan hamba
berdua menunaikan hajat hamba?” Seorang daripada pengawal itu menjawab, “Boleh
jika hajat itu tidak berat.”
Si
Luncai gembira seraya berkata, “Memang tidak berat. Tuan hamba berdua hanya
perlu menyanyi satu lagu untuk hamba.” “Lagu apa?” tanya kedua-dua pengawal
itu. “Mudah sahaja, pengawal yang duduk di belakang hamba hendaklah mengulang
kata yang begini, Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Manakala tuan hamba
yang di hadapan pula membalas, Biarkan, biarkan … .” “Baiklah,” jawab kedua-dua
pengawal itu tanpa mengesyaki apa-apa. Mereka pun sama-sama menyanyi. Si Luncai
terjun dengan labu-labunya. Biarkan, biarkan...
Senikata
itu dilagukan berulang-ulang serentak dengan kayuhan sampan. Semakin lama
semakin rancak. Setelah agak lama, kedua-dua pengawal itu semakin terleka. Pada
saat itulah Si Luncai pun terjun dari sampan untuk menyelamatkan diri. Melihat
hal itu, pengawal yang di belakang segera memberitahu kawannya yang di hadapan,
“Si Luncai terjun dengan labunya!” Malangnya, pengawal di hadapan terus
menjawab, “Biarkan, biarkan…” Dia menyangka, pemberitahuan itu masih lagi
sebahagian senikata lagu yang mereka nyanyikan sebelumnya.
Setelah
Si Luncai jauh berenang menyelamatkan diri, barulah pengawal dihadapan itu
menyedari kejadian sebenarnya. Tetapi apa boleh buat, Si Luncai telah berjaya
menyelamatkan diri. Mereka pun pulang tanpa memberitahu raja hal sebenarnya.
Apa tidaknya, jika silap perhitungan, mereka pula akan dihukum. Si Luncai yang
telah selamat daripada lemas, lari menyembunyikan diri. Namun dalam hatinya
menyimpan dendam yang sangat mendalam kepada raja yang zalim dan angkuh itu.
Setiap hari dia memikirkan bagaimanakah caranya untuk membalas dendam. Padanya,
raja adil raja disembah, raja zalim, raja disanggah. Setelah beberapa hari
lamanya, barulah Si Luncai mendapat idea.
Pada
hari yang terpilih itu, Si Luncai pun mengenakan baju serba putih lengkap
dengan serbannya sekali. Imej yang dibinanya adalah imej orang alim lagi warak.
Setelah itu dia pun dengan beraninya pergi ke istana raja. Melihat Si Luncai
datang, terkejutlah seisi istana, kerana tidak menyangka yang Si Luncai telah
‘hidup’ kembali. Raja pun keluar dan terjadilah pertemuan baginda dengan Si
Luncai buat kali kedua.
“Apa yang terjadi kepada kamu?” tanya
baginda. “Alhamdulillah, patik sekarang telah insaf … patik akan menjadi orang
alim. Patik tidak perlukan apa-apa lagi dalam hidup ini.” “Apa yang terjadi
kepada kamu?” “Patik telah sampai ke alam arwah dan bertemu dengan arwah-arwah
orang yang telah mati … termasuk arwah ayah patih dan almarhum ayahanda
tuanku.” “Armarhum ayahanda beta? Bagaimana gerangannya di sana?”
“Ampun, tuanku.
Almarhum sangat dukacita kerana perbuatan tuanku.”
“Apa yang beta
lakukan?” “Entahlah, almarhum cuma berdiam diri. Katanya baginda ingin bertemu
sendiri dengan tuanku untuk memberi nasihat,” kata Si Luncai. “Bagaimana,
bolehkah beta bertemu ayahanda beta?” “Masakan tidak, hamba yang hina ini pun
boleh, apalagi tuanku yang mulia.”
Si
Luncai tersenyum dalam hatinya. Perangkapnya sudah mengena. Raja yang zalim
tapi bodoh itu akan berjaya ditipunya.
“Bagimanakah cara?”
tanya raja. “Begini … tuanku hendaklah masuk ke dalam laut dalam peti yang
dilubangi. Patik dahulu pun begitu juga. Di dasar lautlah akan berlaku
pertemuan itu nanti.”
Tanpa
berfikir panjang, raja pun bersetuju. Pendek cerita, raja pun dibuang ke laut
di dalam peti yang berlubang. Apalagi, air pun masuk dan raja pun mati lemas.
Si Luncai lari menyembunyikan diri dan tidak diketahui lagi keadaan dan
nasibnya selepas itu.
Tema
Tema cerita ini adaah
mengenai kezaliman dan kecerdikan. Kita dapat lihat kezaliman raja terhadap Si
Luncai yang senang-senang sahaja menjatuhkan hukuman mati atas sebab yang tidak
relevan dan kecerdikan Si Luncai untuk menyelamatkan diri daripada di campak ke
laut.
Pengajaran
Cerita ini juga
mengisahkan bagaimana akibat buruk yang boleh menimpa rakyat jika diperintah
secara zalim oleh seorang pemerintah yang ego dan dungu. Pemerintah yang begini
bukan sahaja berpotensi memporak-perandakan negara bahkan akhirnya memakan diri
sendiri. Orang yang boleh ditipu hanya orang yang dungu. Orang yang boleh
digertak, hanya orang yang banyak salah. Si Luncai tahu itulah hakikat raja
yang sedang dihadapinya. Dan kita mesti membuktikan bahawa kita lebih cerdik
dan lebih baik dengan memantapkan ilmu, amal dan bertaubat. Tidak ada jalan
pintas ke syurga. Biarlah Si Luncai terjun dengan labu-labunya!
No comments:
Post a Comment